GURU BESAR
Salam Sejahtera
Salam NegaraKu Malaysia dan Salam Menjulang Pendidikan SK Kalok.
Segala pujian bagi Allah, kerana keizinanNya kita diberi kekuatan untuk terus berdiri teguh dan melangkah dengan gagah bagi merealisasikan visi sekolah iaitu Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera.
Saya yakin dan percaya seluruh warga pendidik telah berusaha dan akan terus berusaha menjalankan tugas dengan AMANAH dan penuh tanggungjawab bekerja sebagai satu pasukan yang kuat bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah ke arah bersatu untuk KECEMERLANGAN SEKOLAH KITA.
Untuk mencapai kecemerlangan bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi serta perancangan yang disusun rapi. Keperluan murid selaku pelanggan hendaklah dipenuhi dan dicapai dengan jayanya. Justeru itu, guru-guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dan mencapai hasil yang diinginkan.
Berbagai usaha kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara seperti mana yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Kita harus buktikan dengan kerja bersungguh-sungguh. Kita seharusnya memahami dan memenuhi semua kriteria dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPMg2).
Sekolah ini telah dikategorikan sebagai Sekolah TS25. Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah ini berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.
TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui;
#Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan
#Disokong kepimpinan yang berkualiti / berwawasan
#Guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi
#Komitmen komuniti yang padu
Harapan saya, SK KALOK mempunyai sumber manusia yang berkualiti dari segi keilmuan, kemahiran serta tinggi sahsiahnya di samping kemudahan pendidikan yang berkualiti dan InsyaAllah menjadi tunggak untuk melahirkan insan yang berkualiti yang dapat memenuhi tuntutan dunia dan akhirat.
Sekian, terima kasih.